Hikmah Seminggu Anak dan Isteri Ditahan di Wad Hospital USM.

Anak saya dilahirkan pada 23 Ogos 2016 (Selasa) jam 6.30 pagi secara normal dan sihat di Hospital USM (HUSM) Kubang Kerian Kelantan. Jam 5.00 petang pada hari yang sama anak kecil saya sudah boleh keluar hospital.

Namun esok harinya pada 24 Ogos 2016 (Rabu) suhu badan anak kecil saya naik sehingga 38 Celcius. Dibawa kembali ke Wad Kecemasan di HUSM dan terus ditahan di Wad Neonatal Intensice Care Unit (NICU) untuk dipantau secara rapi.

Baby saya harus diuji darah hampir setiap hari, dimasukkan air (darah bayi saya disahkan pekat dan ini ada kaitan dengan simtom jantung yang lemah ketika dalam kandungan) dan dimasukkan antibiotik.

Memang sedih melihat tangisan bayi yang kesakitan diambil darah dan dimasukkan air. Namun itu prosedur penting dalam masa 72 jam kerana dikhuatiri darah bayi dijangkiti kuman.

Sepanjang seminggu (24 hingga 30 Ogos) menunggu di Wad NICU yang hanya boleh dimasuki ibubapa bayi sahaja, memang sangat mendebarkan dan mencemaskan.

Dalam hati kita bertawakal sahaja supaya bayi segera sembuh dan boleh keluar hospital segera dan tidak sanggup lagi lihat bayi kesakitan menangis menjerit diambil darah, dimasukkan air dan antibiotik.

Namun hati tetap bersyukur bayi-bayi lain di Wad NICU yang sama lebih lama di wad dan lebih kronik masalah mereka dengan kes kuning (jaundice) yang kuat, lahir tidak cukup bulan (bayi sangat kecil sebesar tapak tangan) , usus pendek, usus diluar, jantung lemah dan ada yang berbulan-bulan di wad!

Bersyukur pada Allah ujian ini hanya kecil berbanding ibubapa lain namun hati ibubapa tetap walau sekecil mana atau sebesar manapun masalah anak. Dan Allah menguji setiap insan untuk menguatkan lagi iman di jiwa dan ujian iti bersesuaian dengan hamba-hambaNya yang diuji.

Alhamdulillah, setelah seminggu di Wad HUSM semalam 30 Ogos (Selasa) anak kecil saya dibenarkan keluar hospital. Gembiranya rasa hati ini Ya Allah!

Terima kasih diucapkan kepada semua doktor dan jururawat yang bertugas di Wad Ibu Bersalin Topaz, Wad Kecemasan, Wad NICU yang menguruskan kelahiran anak saya, menguruskan anak dan isteri saya sepanjang lebih seminggu di Wad Hospital.

Anda semua adalah insan mulia yang mengorbankan masa, tenaga untuk kesejahteraan insan lain. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian. Alhamdulillah.

0 comments:

Post a Comment

 

From Helpless to Helpful... Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger