CABARAN GEOPOLITIK 49 TAHUN ASEAN


Oleh: Abdul Muein Abadi*
*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

1. Amerika Syarikat (AS) ialah kuasa TERBESAR dunia dengan perbelanjaan ketenteraan hampir USD600 bilion, China kuasa KEDUA dengan perbelanjaan sekitar USD200 bilion, manakala Rusia pula di tangga KEEMPAT dengan jumlah melebihi USD65 bilion (Sumber: https://www.sipri.org/databases/milex).

2. Negara Asia Tenggara (ASEAN) pula secara keseluruhannya membelanjakan sekitar USD42 bilion untuk ketenteraan pada 2015 sahaja, LEBIH TINGGI daripada Jepun (sekitar USD40 bilion), Jerman (USD39 bilion), Australia (USD23 bilion), dan Israel (USD16 bilion).

3. ASEAN ditubuhkan tanggal 8 Ogos 1967 oleh lima negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, dan Thailand antaranya bagi membendung kemaraan kuasa Komunis dari pelbagai arah.

4. Jika di Indonesia pada waktu itu, Partai Komunis Indonesia (PKI) telah mula diperangi susulan Peristiwa rampasan kuasa 30 September 1965, di Utara pula Perang Vietnam yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, dan Kesatuan Soviet (Rusia) turut kencang berlangsung.  Lalu selepas 49 tahun ditubuhkan, bagaimanakah cabaran geopolitik dalaman dan luaran ASEAN pada masa kini?

5. Dari perspektif geopolitik dalaman, kemasukan Vietnam, Laos, Myanmar, dan Kemboja ke dalam ASEAN adalah berpunca tamatnya Perang Dingin.  Perbezaan ideologi tidak lagi menjadi dinding penghalang. Pemimpin ASEAN melihat potensi untuk kewujudan bersama antara negara-negara Asia Tenggara. Dalam masa yang sama, kerjasama kesemua 10 negara dijangka dapat memangkin kewujudan Komuniti ASEAN yang aman dan makmur.

6. Perbezaan sistem politik dalam kalangan 10 negara ASEAN cukup ketara.  ASEAN memberi kebebasan kepada setiap negara untuk bebas mengamalkan sistem politiknya tersendiri. Maka kini ASEAN dianggotai Myanmar yang baru sahaja dalam transisi daripada junta tentera ke sistem demokrasi (terhad), Laos (republik Sosialis), Vietnam (Sosialis separa-autoritarian), Malaysia, Thailand, dan Kemboja (Raja Berperlembagaan; demokrasi berparlimen), Singapura (republik-demokrasi berparlimen), Indonesia dan Filipina (republik-demokrasi berpresiden), dan Brunei (Monari mutlak).

7. Di sebalik kerancakan trajektori ASEAN dalam menuju sebuah entiti Komuniti Politik, cabaran geopolitik luaran kembali menghadirkan dilema. Jika pada era Perang Dingin dahulu aktor yang terlibat ialah AS, Soviet, dan China, kini fokusnya ialah kepada AS-China. 

8. Pada awalnya, AS menerusi sekutunya Jepun telah membentuk sebuah ‘jaringan kebergantungan kompleks’ antara AS-Jepun-ASEAN.  Dalam jaringan ini, AS dan Jepun membekalkan modal pelaburan manakala negara Asia Tenggara membekalkan bahan mentah dan juga tenaga buruh yang murah bagi memproses pengeluaran barangan yang sebahagian besarnya dieskport ke AS. 

9. Segalanya mula berubah pada pertengahan 1980-an apabila masalah ekonomi AS telah melemahkan komitmen perdagangannya di rantau ini, manakala China pula di bawah Deng Xiaoping telah mula mengadaptasi sistem pasaran pada 1978. 

10. Hasilnya, pada tahun 2010 sahaja China telah menjadi negara ekonomi kedua terbesar di dunia di belakang AS, dan juga negara pengeksport ketiga terbesar di dunia.  Eksport ASEAN ke China antara 1996 hingga 2002 sahaja meningkat sebesar 138 peratus manakala eksport ke AS dan Jepun menurun. 

11. Indonesia, Vietnam, dan Malaysia juga menandatangani Perkongsian Strategik Komprehensif dengan China di samping seluruh negara ASEAN turut terlibat dalam rundingan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang melibatkan China.

12. Fokus Perang Afghanistan dan Perang Iraq serta krisis sub-prima 2008 telah mengurangkan komitmen Washington di Asia Tenggara.  Namun kemunculan Presiden Barack Obama telah mengalihkan kembali komitmen AS ke Asia menerusi pengumuman ‘Paksi Asia’ dalam usaha untuk mengimbangi kebangkitan pengaruh China. 

13. Impaknya, hanya dalam tempoh lima tahun AS telah memesatkan siri kerjasama bilateral dengan anggota ASEAN seperti Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Indonesia, Vietnam, Malaysia, dan Singapura sedang dalam masa yang sama merapatkan hubungan dengan Filipina. Dari segi perdagangan pula, Malaysia, Singapura, Vietnam, dan Brunei turut menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan AS. 

14. ASEAN masih merupakan sebuah entiti antara-kerajaan dan bukannya bersifat supranasional sebagaimana EU. Maka, kuasa negara anggota masih mendominasi. Demikianlah yang terjadi dalam ketiadaan kesepakatan ASEAN seperti kes Laut China Selatan di mana Kemboja, Laos, dan Myanmar agak pro-Beijing manakala Vietnam, Filipina, dan Singapura pula lebih kritis. 

15. Disebabkan nilai dagangan ASEAN dengan China sebesar USD367 bilion manakala dengan AS pula bernilai USD212 bilion pada tahun 2014 sahaja, maka Rusia telah dilihat sebagai sebuah lagi harapan untuk ASEAN mengimbangi gelora geopolitik semasa. 

16. Meskipun hubungan dagang ASEAN-Rusia pada 2014 hanya bernilai USD22 bilion, namun reaksi positif Perdana Menteri Najib Razak kepada gagasan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia di Sochi Mei 2016 memberikan dimensi baru buat masa hadapan geopolitik ASEAN. 

17. Laporan bertajuk ‘ASEAN dan Rusia: Sebuah Perkongsian Strategik Multidimensi Berorientasikan Masa Hadapan’ yang diterbitkan sewaktu sidang berkenaan berpotensi untuk mengeratkan komitmen keamanan Moscow di rantau ini yang telah sekian lama menyepi selepas runtuhnya Tembok Berlin (Rujuk: http://asean.org/?static_post=asean-russia-future-oriented-multidimensional-strategic-partnership).

18. Walau bagaimanapun, Rusia masih bergelut untuk membangunkan ekonominya yang kini di tangga keempat belas dunia dari segi KDNK (USD1.1 trilion) berbanding AS (USD18 trilion) dan China (USD11 trilion).

19. Demikian juga fokus komitmen Moscow di Asia Barat (berdepan ISIS) dan Eropah Timur (peluasan NATO dan EU) masih membataskan potensinya untuk terlibat di rantau Asia Tenggara dalam jangka masa terdekat.

0 comments:

Post a Comment

 

From Helpless to Helpful... Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger