TAKLIF SEORANG AYAH, TAKRIF KASIH SAYANG DAN NAFKAH ROHANI.

Pejam celik mata akhirnya telah 7 tahun jadi seorang suami dan 4 tahun menjadi seorang ayah dalam sebuah keluarga kecil. Ya masih baharu dalam pengalaman bekeluarga. Namun penanda aras pada pengalaman bekeluarga bukan pada penilaian masa yang  lama atau baharu tapi bagaimana nilai ketakwaan itu diambil kira.

Checklist KETAKWAAN itu pula tak perlu lihat jauh pada orang lain. Lihat dulu pada diri sendiri dari aspek hubungan dengan Allah bagaimana? Adab kita berfikir, bertutur dan bertingkah laku macam mana? Mampukah kita ikut acuan Rasulullah dalam bekerluarga? Adakah kita mendidik anak dan isteri dengan ilmu agama dan adab? Adakah kita bergaul baik dengan masyarakat? Solat awal waktu dan solat berjemaah tak kita?

Apa yang saya pelajari dan renungi. Menjadi ketua keluarga bukan sekadar beri nafkah zahir semata-mata dengan beri makanan, pakaian, tempat tinggal, bercuti jalan jalan dan kenderaan buat keluarga. Yang paling penting adalah menunaikan TAKLIF HAKIKI insan mengikut kategori diri masing-masing.

Pertama sekali mendidik diri. Kemudian isteri dan anak dengan ilmu agama dan adab. Saya renungi diri ini. Jika hidup hanya berpaksikan material semata-mata nescaya sia-sialah hidup ini Yaumul Masyar kelak atas tuntutan oleh anak dan isteri nanti bila nafkah rohani tidak diberikan secukupnya.

Saya benar-benar berazam biarlah diri ini yang sendiri mendidik anak-anak sebagai GURU PERTAMA yang mengajar ilmu-ilmu agama dan adab. Biarlah diri ini menjadi SAHABAT BAIK PERTAMA buat anak-anak supaya cabaran yang sangat menakutkan di masa hadapan dengan persekitaran dan biah yang pelbagai karenah dapat dihadapi dengan tenangnya melalui panduan Ilahi.

Krisis moral berlaku hakikatnya bermula dari 'KERAJAAN KECIL'(KELUARGA) di rumah yang tidak diurus tadbir dengan baik. 'PEMIMPIN KERAJAAN BESAR' (NEGERI/NEGARA) ini juga bermula dari sebuah keluarga.

Sayangi keluarga bukan sekadar bagi cukup makan minum dan duit semata-mata. Itu juga penting namun yang lebih penting adalah menyayangi keluarga dengan  pemberian ilmu, perhatian, luangkan masa kualiti dan didikan agama dan moral.

Sayangilah KELUARGA anda kerana di situlah punca KEBAHAGIAN!

0 comments:

Post a Comment

 

From Helpless to Helpful... Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger