Bagaimana saya membina 'Pengetahuan Jaringan Antarabangsa'?

Sahabat saya Wasif Wan telah membuka antara 'Tips Rahsia' Jaringan Antarabangsa kami di posting beliau yang terkini ini. Tips yang beliau beri ialah Ziarah ke pelbagai Pusat Kebudayaan Negara-Negara seluruh dunia di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Kembali ke zaman saya ketika mahasiswa lagi. Malahan lebih awal sejak sekolah rendah, pembudayaan ilmu sebagai 'Teras Utama' kepada jaringan antarabangsa kami ini menjadi semakin kuat bila menginjak usia remaja di zaman mahasiswa.

Ketika saya sekolah rendah, saya dipanggil 'Kamus Bergerak' oleh ahli keluarga kerana menghafal banyak info-info seperti nama-nama negara, nama-nama pemimpin dunia dan universiti-universiti ternama dunia seperti Harvard, Oxford, Cambridge dan Al-Azhar.

Ketika di sekolah rendah juga saya memilih untuk jadi pustakawan kerana ingin mudah dapat akses baca buku. Bayangkan ketika sekolah rendah lagi saya telah hadam buku-buku klasik sejarah seperti Hikayat Hang Tuah, Salatus Salatin Tun Sri Lanang dan buku-buku terjemahan sastera dari Rusia, China dan Jepun.

Ketika baca buku Hikayat Hang Tuah misalnya, diceritakan bagaimana Hang Tuah mengembara ke China , ke Tanah Jawa dan sebagainya. Sejarah Empayar Melaka dan Pelabuhan Melaka yang merupakan Pelabuhan Entrepot dunia dengan beratus negara datang berdagang cukup memberi inspirasi kepada saya.

Kisah Hang Tuah juga sangat memberi saya inspirasi untuk mengenal dunia antarabangsa. Kemudian saya dibelikan Globe oleh ibu saya dan sentiasa membayangkan yang saya berada di seluruh dunia. Ketika itu tiada youtube lagi.

Malahan saya menghafal nama-nama negara dunia dan ibu kota sekali sejak zaman sekolah rendah lagi. Saya juga waktu itu telah membaca buku-buku sejarah Tokoh Pemimpin Dunia seperti Napoleon, Hitler, Abraham Lincoln, Mahatma Ghandi dan lain-lain.

Ini contoh bagaimana pengetahuan Jaringan Antarabangsa saya bermula. Saya akan share lagi peringkat-peringkat seterusnya.

0 comments:

Post a Comment

 

From Helpless to Helpful... Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger