JENIS-JENIS ORANG KAYA.

Seringkali saya membaca luahan rasa hati sahabat-sahabat di facebook mahupun di luar facebook mengenai sahabat-sahabat mereka yang suka upload gambar-gambar kereta mewah, rumah mewah dan barangan mewah di wall FB masing-masing.

Ada yang sangat bangga bersahabat dengan orang-orang kaya berkereta mewah dan ada juga yang memandang negatif mereka yang menonjolkan kemewahan dengan pandangan negatif kerana dikatakan meninggi diri.

Tugas saya sebagai trainer coach @ motivator, saya biasanya memilih bersikap positif.  Kita tidak boleh menghukum sesuatu perkara berdasarkan sangkaan semata-mata kerana niat di hati hanya Allah yang tahu.

Seorang motivator bukan sahaja perlu bersikap positif tetapi juga perlu kelihatan positif. Bergaul dengan pelbagai jenis orang kaya dan jutawan ini, saya ingin membuat perkongsian berkaitan jenis-jenis orang kaya berdasarkan pengalaman saya bergaul dan berkawan dengan golongan ini.

Terdapat 5 jenis orang kaya:-

1. Kaya berdasarkan kelebihan akademik dalam bidang yang sangat strategik dan profesional seperti akaun,engineering, oil and gas . Mereka juga hidup kaya terutamanya bermula di zaman emas tahun 1990-an atas dasar pimpinan Tun Dr Mahathir dengan mengetuai GLC-GLC yang hebat-hebat dengan gaji bulanan yang cukup besar.

Gaji bulanan mereka beserta elaun boleh mencecah RM40 ribu dan ke atas. Mereka belajar dengan biasiswa kerajaan seperti JPA, MARA di luar negara balik sebagai rakyat Malaysia yang membawa sijil oversea dan bekerja di pejabat-pejabat swasta yang hebat .

2. Kaya berdasarkan perniagaan-perniagaan yang dimulakan oleh keluarga dengan mewarisi saham-saham besar syarikat. Kebanyakkan kawan-kawan berbangsa Cina dalam kategori ini. Mak ayah yang kaya raya ini menghantar pula anak-anak mereka di universiti ternama dunia dan balik ke tanah air meneruskan legacy perniagaan mereka.

3. Kaya bermula dengan susah, makan maggi, bergolok gadai, bermula dari bawah dan mereka menjalankan pelbagai bisnes seperti bisnes kedai makan, bisnes kosmetik, buka kilang IKS dan juga menjalankan perniagaan MLM, Forex.

Ada yang kaya melalui pelbagai idea bisnes yang hebat dan diterjemahkan menjadi bisnes dan kemudian beroleh kejayaan dan kekayaan. Ada yang asalnya miskin, kemudian menjadi kaya dengan "mengajar orang menjadi kaya". Maksudnya di sini mereka ada "idea" untuk jadi kaya. Mengajar orang jadi kaya seiring dengan mereka sendiri jadi kaya.

4. Proxy orang politik. Agak sensitif untuk dibincangkan, tapi inilah golongan yang kadang kala paling senang lenang kerana hubungan baik dengan pelbagai pihak atas di kalangan orang politik. Contoh kes bekas MB Selangor dulu iaitu Khir Toyo.  Golongan proxy ini kadang-kadang digunakan nama mereka untuk "cover" nama-nama orang tertentu.

5. Orang-orang politik yang memegang tampuk kekuasaan yang boleh meluluskan pelbagai projek mega kerajaan. Cuba tengok rumah ahli politik sebelum dan selepas memegang kuasa. Tidak kira mana-mana parti politik sekali pun "kuasa politik" ini memberi kekuatan untuk mengawal "kuasa ekonomi" pula.

Sebenarnya banyak lagi jenis-jenis orang kaya yang boleh disenaraikan di sini. Namun saya tonjolkan 5 kategori ini. Dan saya lihat golongan kaya ini yang paling suka menonjolkan kemewahan kereta mewah biasanya (tak semua) di kalangan mereka yang jalankan bisnes berkonsepkan MLM, Forex selalunya berdasarkan penajaan keahlian baru.

Bagi saya penonjolan kereta mewah itu satu keadaan yang positif namun bergantung pada mereka yang "melihat" bukan pada yang "dilihat". Kereta mewah itu penting bagi mereka yang terlibat dalam industri berkonsepkan MLM untuk memberi inspirasi kepada orang bawah.

Namun dalam konteks bisnes seperti MLM,  penonjolan utama figura jutawan yang berjaya dalam sesuatu sistem MLM atau BINARY akan ditujukan kepada satu atau beberapa individu tertentu sebagai "jurucakap".

Yang benar-benar kaya adalah pihak "mastermind" di belakang tabir dalam sesuatu sistem MLM, BINARY atau PIRAMID itu. Jika berlaku masalah kepada "sistem" itu yang paling menanggung malu adalah "jurucakap" berbanding "mastermind" yang tidak kelihatan di belakang tabir.

Teguran saya kepada bangsa saya sendiri yang beragama Islam. Lihatlah aspek kekayaan itu melalui renungan dan kaca mata sunnah Nabi dan cara Islam yang sebenar. Akhirnya kekayaan itu ke mana tujuan dan apakah "hakikat" kekayaan itu sendiri.

Ada sahaja orang kaya jutawan yang saya jumpa hidupnya cukup sederhana tanpa kereta mewah, rumah mewah dan tidak sempat pun nak update kisah kekayaan jutawan hartawan mereka di facebook.

Manakala sahabat-sahabat yang memaparkan kemewahan di facebook mungkin niat beliau untuk menggalakkan pengikut-pengikut beliau bekerja keras seperti beliau sehingga peroleh kekayaan dan kemewahan itu.

Namun berpada-padalah dalam menonjolkan kekayaan, kemewahan kita kerana hati manusia ini tidaklah kita tahu setakat mana titik hitam dan noda dalam jiwa mereka yang datang dengan hasutan syaitan yang menjurus kepada cemburu dan dengki yang sangat negatif.

KESIMPULAN.

Saya seboleh mungkin mendapatkan pelbagai nasihat mengenai kekayaan dari perspektif pelbagai jenis orang kaya ini. Orang kaya yang dari awal kita lihat bernasib baik seperti Golongan 1 mungkin ujian kesusahan mereka ketika menjadi seorang mahasiswa di luar negara, ramai yang bermula dari keluarga yang miskin. Nasihat mereka mengenai kekayaan juga selalunya bersifat konsep, teknikal dan menekankan aspek pentingnya pelajaran dan pendidikan.

Golongan 3 mungkin boleh menerangkan tentang perniagaan dengan jalan cerita yang lebih inspirasi dan motivasi kerana bermula dengan jalan kesusahan, kerja keras dan disiplin. Golongan 4 dan Golongan 5 akan menggalakkan kita mempunyai "network" dengan orang politik dan menekankan aspek "knows WHO" dan "High Network Contacts".

Saya akhiri penulisan ini dengan kata-kata falsafah ini:-

"KAYA tidak menjadikan kita lebih tinggi harga diri, MISKIN juga tidak menjadikan kita lebih mulia. KAYA dan MISKIN boleh menjadi sebab manusia kufur. KAYA dan MISKIN juga boleh menjadi sebab manusia bersyukur!

"Berusahalah menjadi insan yang paling bernilai , dan harta yang bernilai akan menjadi tidak bernilai jika dibandingkan dengan diri anda sendiri!

P.S: - Marilah kita sama-sama berdoa menjadi manusia kaya dunia dan kaya akhirat! Amin Ya Allah.

0 comments:

Post a Comment

 

From Helpless to Helpful... Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger